Salam,
Tersentuh hati ini bila mendengarkan berita kembalinya kerahmatullah ayah kepada saudara kita Tajudin Jalil pada 31.1.2008 yang lalu. Saya dah Tajudin sebenarnya bersaudara. Ayah Tajudin pangkat atuk kepada saya. Jadi Tajudin tu saya kena panggil bapak. Ibu bapa kami sama mengenali satu sama lain dan bekerja di ladang getah milik bangsa Eropah. Kemudian arwah bekerja dengan kerajaan dan bapa saya masih bekerja kampung. Keadaan yang biasa pada awal kemerdekaan negara. Hubungan kami boleh kata senyap dan sunyi kerana masing-masing membawa haluan masing-masing. Hinggalah apabila saya mendapat tawaran ke KIK tanpa disangka Tajudin pun sama ditawarkan. Situasi ini menemukan kami. Pemergian saya ke KIK adalah bersama arwah yang turut menghantar Tajudin. Dari Bentong kami singgah di Kg.Datuk Keramat KL di rumah bapa saudara Tajudin sebelum berlepas ke KIK keesokan harinya. Secara ringkas kemasukan saya ke KIK bersama Tajudin telah menemukan semula kami sekeluarga dan merapatkan hubungan jenerasi kedua. Apabila mengetahui pemergiannya saya hanya berupaya mensedekahkan Alfatihah untuk beliau- Alfatihah. Peluang kedua untuk mengeratkan hubungan ini terbentang kembali melalui web ini.
Semasa belajar memang banyak yang dilalui. Perpisahan dengan keluarga semasa di KIK bukanlah kali pertama. Semenjak bersekolah agama di Kuantan semasa kelas peralihan saya sudah berpisah dengan mereka sekalipun saya sebenarnya dipelihara oleh ibu angkat sejak berumur 3 hari lagi. Namun, ibu bapa angkat saya adalah emak dan bapa saudara saya. Perbezaan antara sekolah lama saya dengan KIK amat ketara. Sebagai sekolah berasrama penuh tentulah tak sama dengan sekolah agama kerajaan negeri. Suasana pembelajarannya, peraturan dan disiplinnya, aktiviti penghayatan keislamannya dan paling saya suka makanannya. Lebih baik dari yang lama. Bukan tujuan saya untuk merendah atau mengutuk sekolah lama, cuma nak mensyukuri nikmat yang diberi. Pergaulan dengan rakan-rakan lebih meluas. Bukan saja terhad kepada rakyat Malaysia, bahkan warga Singapura dan Kampuchea.
Balik cuti penggal naik keretapi bersama pelajar Kelantan. Bukankah pelik tu. Dari Kelang ke KL, turun ke Gemas, naik ke Mentakab, turun dan patah balik ke Karak. Masa perjalanan tak kurang 12 jam. Kalau naik bas 3 jam aje. Sebabnya pasal warrant ticket hanya diberi untuk naik keretapi saja. Kisah lucu ialah bila highjack gerabak student MCKK di KL. Sengsaranya sebab tak dapat duduk atas kusyen sebaliknya duduk atas tangga dan lantai je.
Pasal Fuat dan Farah Dina sebut cermin mata ni kena ceghita jugak noo. Masa sekolah dulu tiap tahun kena tambah power. Mulai kelas peralihan sampai tingkatan 6 dan seterusnya ke UM. Setiap kali tambah kurang-kurang 70 powernya. Bayangkanlah kalau 10 tahun. Itu sebab tak study hard dulu tu. Kalau Fuat hilang cermin mata, saya pulak pecah sebelah cermin. Tak pakai, tak nampak jalan. Kalau pakai tak balance pulak. Sampai masuk pintu terlanggar dinding. Itulah seksanya pakai cermin mata. Nak masuk PKBM masa di KIK dulu pun ditolak. Nasib baik boleh masuk PALAPES kat UM dan dapatlah pencen Kapten macam Saidi tu ( pencen Wataniah tah tak dok pitih ). Walau bagaimanapun spek saya taklah setebal spek Azami Jusoh tu.
Setakat ni dah 2 reunion saya hadir. Selain kawan-kawan, guru-guru pun turut sama. Betapa besar peranan mereka hinggakan tak upaya kita membalasnya. Kenakalan yang mempengaruhi supaya sentiasa mahu melanggar undang-undang dan peraturan mendorong kita menyedari besarnya tanggung jawab mereka. Lihat saja Datuk Lah n Nik, rakan-rakan guru sekarang maka dapatlah kita bayangkan betapa besarnya tanggung jawab mereka mendidik generasi sekarang yang terdiri dari anak-anak kita. Samada di sekolah mahupun di universiti tanggung jawab mereka memang berat. Oleh itu kita tabik kepada mereka semua. Semoga jasa mereka akan dihargai oleh pelajar-pelajar mereka pula.
Pagi ini saya bercakap melalui telefon dengan Yahya Daud - Bank Islam Shah Alam dan Salehuddin Md Rashid - Sekolah jalan Kebun. Sedikit demi sedikit rakan-rakan lama akan dihubungi. Nostaljia lama akan terbongkar. Ketawa hilai mengenangkannya akan terdengar. Namun yang pergi kita ingati dan yang hidup kita lawati. Hubungan ini bukan untuk segenerasi bahkan melangkawi generasi guru-guru yang diingati dan dihormati serta orang tua yang melindungi.
Sehingga bertemu lagi, wassalam.
Puaad - 5 sas 5
11 February 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment