22 January 2011

Kematian Satu penantian







">



Allah swt menyatakan dalam al-Qur'an yang bermaksud:
“Jikalau Allah menghukum manusia kerana kezalimannya, niscaya tidak akan ditinggalkanNya di muka bumi sesuatu pun dari makhluk yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka sampai waktu yang ditentukan. Maka apabila tiba waktu (yang ditentukan) bagi mereka, tidaklah mereka dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula mendahulukannya” surah An Nahl ayat 61.
Kematian pasti datang , persoalan bila dan ketika mana sering menjadi tandatanya. Justeru mengingati kematian amat digalakkan dalam ajaran Islam. Terlalu banyak ayat yang menyentuh antara persoalan kehidupan dan kematian. Malahan doa yang dipohon pun menyatakan supaya dimatikan dalam keadaan husnul khatimah.
Mati bukanlah penamat kepada kehidupan, tetapi ianya ibarat hijab yang memisahkan antara dua ’alam – ’alam nyata dan ’alam barzakh. Ataupun kita boleh renungkan begini, kematian amat hampir dengan kita, ibarat sekadar meyelak tabir di depan kita sahaja!
Justeru, kejayaan mukmin adalah pada nilai hidup dan matinya. Bagaimana mukmin menjalani kehidupan, yang pastinya berbeza dengan kehidupan orang bukan Islam, itulah yang akan memberi kesan langsung kepada kematiannya.
Detik-detik kematian mukmin juga seharusnya lebih mulia dan penuh rahmat, berbeza kematian mereka yang durhaka dan durjana. Sepatutnya kematian sampai ketika itu orang mukmin dalam ketaatan kepada Allah SWT.



Allah SWT berfirman dalam Surah Ali ’Imran ayat 102
”Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwa lah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan muslim”
Peringatan ini terus diulang setiap hari jumaat ketika khutbah jumaat disampaikan, namun apakah nyawa seseorang itu akan dicabut dalam keadaan seseorang itu berada dalam ketaatan kepada Allah. Masih ramai yang alpa dan lalai dengan terus melakukan maksiat dan kemungkaran. Malaikat tidak menunggu bila sudah sampai masa dan ketika nyawa seseorang itu dicabut, yang penting kita semestinya berusaha untuk terus membaiki amalan dan bertaubat kepada Allah swt.
Minggu ini wakman tiga hari berturut (Hari rabu, khamis dan Jumaat) sempat menziarahi kematian, dari orang biasa hinggalah orang agak ternama. Kematian yang memisahkan nyawa dengan jasad, terpisah segala-galanya, anak, suami, isteri, rumah, pangkat dll. Semuga Allah mencucuri rahmat dan Ehsan keatas roh mereka yang telah mendahului kita semua.
Akhirnya doa kejayaan dan keselamatan untuk rakan-rakan seperjuangan dimana jua berada. Kukuhkan perpaduan dan ukhuwah. Wadah genkik77 dimantapkan dan dijelmakan dalam menjana modal insan gemilang.
Salam mulia dari wakman.