24 April 2008

Si Luncai

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya”. Dah lama tak dengar ungkapan ini . Saya pernah bertanya pada anak-anak tentang maksudnya. Yang besar sedikit menjawab;”Orang bodoh”. Yang kecil menjawab ; ”Orang belajar berenang . Dulu-dulu tak ada pelampung, buah labu tu jadi macam pelampung la.” :) Apa pun, anak-anak kita kini sudah tidak tahu tentang kisah si Luncai !

Masa saya belajar dulu, seorang pensyarah yang sangat saya kasihi; Almarhum Prof Dato’ Dr Mahmud Saedon Awang Othman gemar menggunakan ungkapan ini . Selalunya bila ada sesuatu yang tidak menyedapkan pandangan atau pendengarannya ketika mengajar, dengan spontan kata-kata ”biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya” akan keluar dari bibirnya. Dalam kelas tutorial yang pelajarnya dalam sepuluh orang, kalimah ini cukup berkesan . Sesiapa yang terasa melakukan kesilapan akan segera membetulkan kesilapannya. Sesiapa yang yakin bahawa dia tidak melakukan apa-apa kesilapan akan menoleh ke kiri kanan mencari punca kenapa perkataan keramat itu keluar dari mulut Tok Guru. Dan, sesiapa yang terasa macam disindir tapi tak pasti kenapa, akan gelisah dan tak senang duduk.

Rasanya bukan anak-anak sahaja yang tak tahu kisah si Luncai, kita pun dah tak berapa ingat cerita-cerita yang sewaktu dengannya seperti Pak Pandir , Pak Kadok, Lebai Malang dan Mat Jenin . Jika kita masih ingat, yang penting di sebalik kisah-kisah tersebut adalah pengajarannya!
Kata Zigzaglar: Sikap optimis ialah menyedari masalah dan mengenali penyelesaiannya. Mengetahui kesulitan dan yakin ia dapat diatasi. Melihat yang negatif tapi menekankan yang positif.
Kata Mu’az bin Jabal; ”Rasulullah SAW telah berpesan kepadaku: Aku berwasiat kepadamu supaya takut kepada Allah, bercakap benar, amanah, tunaikan janji, berusaha mencari keamanan dan merendahkan diri.”

Wassalam
FarahDina