08 March 2009

Almarhum Zubir Ali - Ex KIK - ALFATIHAH

Belasungkawa Zubir Ali (1949-2009): Berseloroh menjelang akhir hayat


DUNIA seni tanah air sekali lagi kehilangan insan berbakat besar yang cukup sinonim dengan karya bergenre puisi.
Komposer dan penulis lagu puisi sejak 1970-an, Zubir Ali, 60, meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi semalam di Hospital Pakar Damansara selepas seminggu dimasukkan ke sana untuk menjalani pembedahan pintasan jantung.

Selain menghidap masalah jantung, Allahyarham turut menderita diabetes namun pada saat akhir hidupnya, beliau yang dikenali sebagai seorang yang kelakar masih sempat berseloroh dengan keluarganya.

Pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Universiti Malaya (UM) itu terkenal dengan lagu menyentuh perasaan terutama album semasa dengan Kumpulan Harmoni seperti Penantian, Nyanyian Ombak dan Sewaktu Hujan Berbisik.

Antara kejayaan yang pernah dicapainya ialah Pencipta Lagu Terbaik, Balada Seorang Gadis Kecil pada Pesta Lagu Malaysia 1983, Penulis Lirik Terbaik (Ma'al Hijrah) pada Pesta Lagu Ma'al Hijrah 1994 dan Pencipta Lagu Terbaik (Kau Tahu) pada Pesta Lagu Ma'al Hijrah 1995.

Isterinya, Fauziah Ismail, 53, berkata selepas menjalani pembedahan pintasan, Allahyarham kelihatan sihat namun keadaan kembali teruk Isnin lalu.

“Arwah sempat berseloroh kalau dia meninggal dunia, kebumikan di Bukit Kiara tapi kalau di situ penuh, bawa dia pulang di tempat kelahirannya di Alor Star, Kedah.

“Walaupun hanya bergurau, tetapi saya sebenarnya sudah sedar dan bersedia kerana keadaan kesihatan arwah ketika itu semakin teruk,” katanya yang ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, semalam.

Menurutnya, walaupun kehilangan suami tercinta, namun dia amat berterima kasih dengan jagaan rapi doktor sepanjang dirawat di hospital.

Menyifatkan suaminya sebagai seorang yang manja dan kelakar, Fauziah berkata, dia akan merindui Allahyarham yang sebelum ini sentiasa menyokong dan ada di sisinya.

- "Satu kehilangan besar buat negara dalam dunia kesenian Islam."

Demikian luahan tokoh seni dan budaya, Dinsman, yang merupakan sahabat baik Allahyarham Zubir Ali apabila menjelaskan betapa kepulangan alllahyarham Zubir merupakan satu kehilangan besar bagi kesenian Islam di negara ini.

"Saya mengenali Zubir sewaktu sama-sama belajar di Maahad Mahmud, Alor Setar. Kemudian kami sama-sama meneruskan pengajian ke Kolej Islam, Klang. Seterusnya kami menyambung pengajian di Universiti Malaya.

"Kami sama-sama memperjuangkan kesenian Islam. Saya di bidang teater dan Allahyarham di bidang Muzik. Di Universiti Malaya, kami sama-sama dalam KESUMA. Saya mempersembahkan teater, Allahyarham mencipta lagu-lagu untuk teater tersebut.

Allahyarham merupakan bekas vokalis kumpulan Harmoni yang popular dengan lagu 'Penantian'. Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Kebudayaan, Pembangunan, Perkhidmatan dan Kegiatan, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.

"Beliau tidak pernah lokek dalam memberi ilmu. Seorang insan yang cukup mudah didekati,malah kalau pelajar datang untuk mendapatkan nasihat serta pandangan mengenai aktiviti seni beliau sentiasa berada bersama mereka tanpa mengira masa,"jelas Penyunting Harakah,Mohd Khalil yang pernah berguru dengannya semasa menuntut di Universiti Malaya sekitar tahun 1996-2000.

Tambahnya, Zubir tidak hanya membantu pelajar dari sudut aktiviti seni muzik malah pernah turut melibatkan diri dalam kegiatan seni lain seperti Teater dan acara Deklamasi Puisi.

"Paling tidak dapat dilupakan,allahyarham banyak memberikan tips-tips yang berguna untuk menjadi seorang pendeklamator yang baik,"katanya yang pernah mewakili Universiti Malaya ke peringkat IPT dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan.

Paling terasa bagi pelajar,kata Khalil, Zubir tidak akan menghampakan sebarang undangan di peringkat universiti jika ia melibatkan aktiviti pelajar.

"Beliau tidak pernah meminta sebarang bayaran...walaupun dirinya dikenali sebagai penyanyi dan komposer terkenal negara...kalau diundang,khalayak tidak akan sunyi dengan petikan gitarnya dengan deretan lagu-lagu puisi,"tambahnya sambil menyifatkan allahyarham antara insan yang sukar dicari ganti sebagai pensyarah dalam bidang yang pelbagai.

Antara lagu, lirik dan nyanyian Zubir Ali yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam bagi sesiapa yang mendengarnya iaitu Balada Gadis Kecil mengenai penderitaan seorang gadis kecil bernama Munir diceritakan dalam elemen lagu puisi yang cukup menyentuh perasaan. Lagu tersebut juga pernah memenangi Lagu Terbaik Pesta Lagu Malaysia 1983.

Dalam satu temubual bersama Harakahdaily mengenai pelancaran album ketiganya 'Zubir Ali 06' tiga tahun lalu, beliau menyatakan tidak semua penyanyi dapat menyanyikan lagu-lagu puisi kerana jiwa puisi agak berbeza. Lantaran itu beliau lebih selesa menyanyikan sendiri lagu-lagu ciptaannya.

"Lagu-lagu saya ditulis dengan hati dan sesiapa yang 'mempunyai hati' akan tertarik dengan lagu-lagu saya. Dan lagu saya ditujukan untuk mereka boleh mendengar sesuatu yang murni. Lagu saya bukan sekadar untuk berhibur tetapi juga mengajak manusia berfikir mengenai kehidupan," jelasnya dalam satu pertemuan dengan wartawan Harakahdaily.

Zubir yang merupakan komposer, penyanyi lagu-lagu puisi dan pendidik kepada pelbagai insan seni meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara pada jam 11 pagi tadi selepas menjalani pembedahan jantung.

Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan insan-insan yang soleh. Al-Fatihah