13 May 2008

Hmmm.......Dekatnya

Sewaktu melalui kawasan rumah lama saya di Seksyen 2, Shah Alam , saya terkenangkan satu perbualan antara anak-anak saya dengan rakan-rakan mereka anak-anak jiran sebelah seusia mereka. Kanak-kanak antara 3 hingga 6 tahun itu rancak berbual di tepi pagar yang memisahkan antara rumah saya dengan rumah Wan, jiran saya yang amat baik budi.; atas tajuk ‘balik kampung’ dan ‘travelling’. Anak perempuan saya yang berusia 5 tahun bertanya; “tempat mana yang paling jauh sekali di dunia?” . Rakannya Husin menjawab; “Amerika.” Hamzah ; “England”. Farihah; “Mekah”....
Jawapan yang diberi menggambarkan mereka memahami kehendak soalan... Kemudian Husin memberi jawapan kedua; “Syurga”! Yang menyoal pantas memberi respon : “Bukan syurga”, dan menambah; “ syurga dekat je”. “Kat mana???”, soal Hamzah ingin tahu. Saya yang ketika itu berada di dalam bilik bangun mengintai melalui cermin tingkap. Lima orang kanak-kanak sedang teruja menunggu jawapan di mana letaknya syurga. Jawapannya: “Di bawah tapak kaki Mak kita !!!" ( kita = saya, kanak-kanak perempuan selesa membahasakan diri mereka kita) Saya menahan ketawa, namun bila melihat anak-anak itu diam, airmata saya menitis...

Jahimah as-Salami pernah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata kepada baginda : “Wahai Rasulullah ! Saya ingin berperang, dan saya datang untuk berbincang. Rasulullah SAW bertanya :”Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Beliau menjawab: “Ya , ada.” Rasulullah SAW bersabda :”Dampingilah dia, sesungguhnya syurga terletak di kedua kakinya.”
(riwayat al-Hakim)

“Kids Say The Darndest Things.”

Wassalam
FarahDina

Kematian & Motivasi


Assalamu'alaikum wbt.
Kullu nafsin dzaa iqatul maut, tiap-tiap jiwa akan merasakan mati. Dalam kesibukan kita mengharungi kehidupan dunia kadang kala kita lupa bahawa kematian itu dekat. Dan sesungguhnya Allah Swt Yang Maha Pengasih dan Penyayang sering kali mengingatkan kita bahawa setiap manusia ada waktunya. Salah satunya adalah dengan kematian orang lain. Ketika takdir Allah Swt jiran terdekat WM yang berusia 84 tahun telah meninggal dunia pada petang semalam dan pagi ini tanggal 7 Jamadilawwal 1429 selamat dikebumikan.
Didoakan semoga roh Almarhum Hj.Omar bin Arshad dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama golongan syuhadah, siddiqin dan solihin.

Mengingati mati adalah satu tuntutan. Dengan mengingat mati, maka kita dapat lebih bersyukur dan bersabar dalam menghadapi ujian kehidupan. Sebesar mana pun masalah yang kita hadapi, pada akhirnya kita akan mati, dan Allah Swt akan menyoal hal-hal yang kita lakukan semasa kita berhadapan dengan ujian dan kehidupan. Apakah kita menganggapnya sebagai ujian dari Allah dan kemudiannya kita akan mendampingi AlLah Swt dengan lebih dekat lagi atau sebaliknya. RasululLah saw bersabda “ Perbanyakanlah kamu mengingati sesuatu yang mencabut kelazatan iaitu kematian”. Dan “Orang yang sentiasa mengingat kematian, maka hartanya yang sedikit akan dianggap sudah banyak, sebaliknya (orang yang tidak mengingati kematian) jika hartanya banyak, maka dia berasa masih sedikit”.

Sebuah syair menyebut

Aku datang, kekubur lalu memanggil,
Manakah orang terhormat dan manakah orang hina?,
Mereka semua telah mati dan tidak ada khabar lagi
Semua mati dan demikian pula riwayat hidup mereka,
Hai ! orang yang bertanyakan orang-orang pada masa silam
Tidakkah kamu sudah mengambil iktibar masa lalu
Bunga-bunga desa bermunculan menghiasi kampong,
Namun satu persatu keindahan itu hilang untuk selamanya”.

Untuk tazkeerah, WM syorkan untuk teman2 miliki buku wa ja at sakratil mauti bil haq.[SAKRATUL MAUT Bersediakah Anda Menghadapinya?] – Dr.Aidh Abdullah Al-Qarni.

”Ziarahilah kubur, sebab ia dapat mengingatkan akhirat”.

Salam ukhuwah dari WM.