16 May 2008

GURU INSAN MULIA




Apa khabar semua, WM mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU kepada semua guru2 dan teman2 yang menjadi guru di SK,SMK,SMK(A),SAR dan juga teman2 yang menjadi pensyarah di IPTA/IPTS. Didoakan semua beroleh kesehatan dan keceriaan dalam menghadapi kerenah anak2 murid masakini. WM masih teringat ketika menjadi GPK di SAR dulu, ROTAN adalah penawar dalam menghadapi anak2 pelajar yang malas dan nakal. Syukur kepada AlLah Swt, dengan adanya rotan maka anak2 murid yang kebanyakan dibuang daerah oleh keluarga disebabkan gagal di sekolah biasa (Sekolah Agama Swasta atau SAR biasanya dulu dijadikan tempat penyelesaian anak2 yang nakal dan gagal dalam akademik), kini telah menjadi manusia yang berjaya. Berbeza masakini sekolah Agama menjadi pilihan utama pelajar2 cemerlang. TAHNIAH kepada semua yang menjadi GURU, PENSYARAH. TERIMA KASIH kepada semua guru2 WM yang rasanya tak tersebut dari Sekolah Keb, Sekolah Ren.Agama, Sekolah Men. hinggalah ke Universiti termasuk guru2 WM yang mengajar kawad dan senjata semasa dalam ROTU / PALAPES di UKM dulu. WM mohon maaf kepada semua guru2 dan mendoakan semuga AlLah Swt membalas jasabaik semua guru2 dengan ganjaran yang besar disisi AlLah Swt.

Guru Oh Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru yang diselenggarakan oleh Zam Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989.

Salam kangen dari WM.

Kita Semua Guru


Hari ini Jumaat 16 Mei 2008 adalah tarikh jatuhnya sambutan Hari Guru. Semua sedia maklum tentang sambutan hari ini adalah khas untuk kakitangan awam yang bertitle " cikgu". Khutbah Jumaat di Masjid Kampung saya hari ini juga membicarakan topik serupa, hari guru. Dan, kita sering terlupa sebenarnya Guru Besar kita adalah Rasulullah SAW.

Dalam Kamus Dewan :

1. Guru bermaksud " orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh.

2. Perkataan " berguru" bermaksud " belajar" atau " berlaku atau bertindak seperti guru.

3. Bergurukan bermaksud " menjadikan seseorang sebagai guru.

4. Keguruan bermaksud " yang berkaitan dgn guru, yang berkaitan dgn peranan, tugas, kelayakan sebagai guru.

5. Perguruan pula membawa maksud a. sekolah, tempat belajar. b. Pengajaran. c. yang berkaitan dgn guru spt, maktab.

Maaf, memberikan definisi agak panjang sikit. Bukan nak mengajar. Yang saya nak bawakan adalah sudut pandang yang lain sedikit dari kebiasaan. Kerja kita sebagai guru, yang dipanggil sebagai guru dan pensyarah dan seumpamanya, tiada apa-apa salahnya. Betul dan tepat.

Maksud saya, dalam dalam kontek kehidupan seharian kita, semua kita adalah guru. Kerja kita dan panggilan kita itu adalah yang resmi. Kita semua adalah guru. Seorang lelaki dan suami adalah guru kepada anak-anak dan isteri. Isteri adalah guru kepada anak-anak dan suami. Jiran adalah guru kepada jiran yang lain. Anak-anak kita berguru dengan sesama mereka. Sama ada abang atau kakak menjadi guru kepada adik-adiknya atau sebaliknya.

Yang kerja resminya bukan mengajar juga adalah guru. Doktor adalah guru kepada orang yang berkerja bersama dengannya. Pengurus syarikat adalah guru kepada semua kakitanganya. Begitulah perumpamaannya kepada lain-lain bidang. Hakikatnya kita semuanya adalah guru dan murid kepada seseorang atau sekumpulan orang.

Bertepatanlah dengan Sabda Nabi yang bermaksud " tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ". Kita sebenarnya sentiasa belajar setiap masa. Masih ingat lagi saudara/saudari semasa mula-mula Blog ini diwujudkan?. Masa itu tentu ramai yang tak tahu cara nak masukkan tulisan dan gambar ke sini. Betul?. Termasuklah saya sendiri. Maka atas inisiatif dan usaha gigih Guru kita Asmawi, maka kita semua sekarang sudah lulus [ kalau pun tidak cemerlang ].

Jadi sempena Hari Guru tahun ini marilah sama-sama kita ucapkan " Selamat Hari Guru " kepada semua guru kita dan diri kita sendiri. Sekian wassalam.
Mohd Sanusi.

Selamat Hari Guru

”SELAMAT HARI GURU” UNTUK SEMUA GURU

Terima kasih Cikgu, atas jasa dan pengorbanan yang ditabur tanpa mengenal penat lelah !
Hanya Allah SWT jua yang mampu membalasnya.

Syauqi; seorang penyair Arab mengungkapkan penghargaan ini :
“Perlakukanlah guru dengan penuh hormat, kerana mereka hampir menyerupai Rasul . Pernahkah kamu lihat ada orang yang lebih agung dari orang yang membina dan menumbuhkan akal kita?”
Wassalam
FarahDina