02 May 2008

Hai Sayang !

"Hai Sayang !”. Kalimah pertama yang saya dengar di pagi yang penuh barakah ini. Diucapkan oleh seorang ibu terhadap temannya dalam usia 6oan sambil bersalaman dan berpelukan . Sudah pasti ucapan itu lahir dengan penuh rasa kasih sayang. Sudah acapkali saya dengar perkataan ini diucapkan oleh individu berkenaan terhadap teman-temannya. Sewaktu pertama kali mendengarnya saya agak terpegun, maklumlah tak biasa !

Seorang lagi yang sering saya dengar mengucapkan kalimah ini ialah seorang doktor muda yang cantik manis di Darul Ehsan Medical Center di Shah Alam. Sebaik saja kita muncul di hadapannya, dengan ramah dia terus menegur. “Assalamu’alaikum, hai sayang !” Saya pernah bergurau dengan suami dan anak-anak: “Kalau nak rasa disayangi bila pergi ke DEMC, beritahu kat kaunter nak jumpa Dr **** “(di saat saya menulis ni sungguh-sungguh saya terlupa pula nama beliau :)

Walaupun begitu , dia taklah ucapkan kata-kata sayang tu kepada semua orang. Suatu hari ketika sedang menunggu anak saya diperiksa oleh doktor lain di katil rawatan, saya terdengar suara doktor penyayang ini di sebalik tabir. “Ayah duduk di sini, nanti ayah pegang tangan abang.” Eh, ayah dan abang doktor ni pun datang jumpa dia kat ke klinik ni juga ke! Terdetik begitu dalam fikiran , lantas saya menjenguk keluar. Ooowh, ada sorang pesakit lelaki cilik bersama ayah dan ibunya. Itulah bahasa dan keramahan insan penyayang !

Sesungguhnya tidak rugi jika kita menjadi insan penyayang. Allah SWT adalah ar-Rahmaan dan ar-Rahiim. Dia mengasihi dan menyanyangi seluruh makhlukNya.Dia menghendaki kita saling menyayangi. Sayangi semua orang kerana cinta dan kasih kita kepada Dia. Sesungguhnya tidak rugi jika kita menjadi insan penyayang.

Sabda Rasulullah SAW daripada Jarir bin Abdullah r.a. “Sesiapa yang tidak mengasihani manusia, nescaya Allah ‘Azzawajalla tidak mengasihaninya.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah ibn “Amr r.a : “Orang-orang yang pengasih dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka yang di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihani kamu.” (riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Wassalam
FarahDina