14 February 2008

BELAJAR MATEMATIK

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada kawan-kawan dan guru-guru yang dikasihi,
Betapa ruginya saya rasa hari ni bila tidak pandai matematik. Dulu bila waktu matapelajaran matematik ja saya mula rasa nak pergi klinik dan macam-macam lagi. Pernah sekali bila Cikgu Shahrom masuk saja ke kelas, saya pun minta kebenaran keluar sebab nak pergi ke Klinik Anika di Hospital Klang kerana ada appoinment dengan doktor gigi. Memang betul ada appointment tapi saya menyelam sambil minum air. Rasa lega tak payah belajar math hari tu. Tapi malangnya bila pak cik van dah bawa saya ke klinik, doktor pulak tak ada. Saya balik semula ke kelas, Cikgu Shahrom masih ada dalam kelas dan sedang duduk di tempat saya sambil tunggu kawan-kawan menyiapkan latihan. Alhamdulillah, saya masih sempat belajar matematik hari tu..

Saya tidak nampak pada wajah Cikgu tanda-tanda nak marah sama ada ketika saya nak keluar atau ketika masuk balik. Tapi, hari ini bila saya berada di tempat Cikgu, jika ada pelajar minta kebenaran keluar atas urusan lain, saya juga tidak marah, cuma saya bertanya;”kenapa keluar waktu ni?”. Dalam fikiran saya ada berbagai andaian. Maafkan saya Cikgu, saya silap , walaupun Cikgu mungkin tidak berburuk sangka terhadap saya, tapi tindakan saya boleh menyebabkan sekurang-kurangnya Cikgu kecik hati.

Pernah juga suatu hari, semasa di tingkatan 5 sastra 1, Cikgu Rani guru matematik kami tidak dapat hadir, Bapak Mulyadi masuk ke kelas menggantikan beliau. Ditangannya ada kertas ujian matematik yang telah kami buat dengan Cikgu Rani. Saya rasa hari ni Pak Mulyadi nak pulangkan kertas tu. Memang benar. Pak Mulyadi memanggil setiap pelajar untuk ambil kertas masing-masing. Saya jadi berdebar-debar. Tiba giliran saya....Saya ke meja guru di mana beliau berada. Kertas tidak dihulurkan kepada saya, Bapak Mulyadi memegang pen merah sambil membulatkan point tertentu dalam kertas yang memang sudah ditanda oleh Cikgu Rani. Sambil tu beliau berkata; ”Apa ni?!, Apa ni?!” sambil marah-marah. Saya diam.

Akhirnya Pak Mulyadi menolak hampir 7markah lagi dari apa yang telah diberikan kepada saya oleh Cikgu Rani! Saya ridha, sebabnya... Saya suka kecoh (tipu/mengelat) bila jawab matematik. Bila saya rasa jalan kira tak akan menemukan saya dengan jawapan yang tepat, saya pakai letak je jawapan yang saya rasa sesuai. Jalan penyelesaiaan tu saya biarkan saja begitu. Walaupun tak kerap, ada la saya buat macam tu. Mungkin kerana kesian, cikgu Rani bagi la sikit markah untuk jalan kira tu . Saya tidak sepatutnya buat begitu. Maafkan saya Cikgu.

Betapa ruginya saya dahulu tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk meminati mata pelajaran ini, mempelajari dan menguasainya. Imam Shafie ada menyebut bahawa ”matematik boleh mencerdaskan minda”. Kini baru saya memahami tentang pentingnya belajar matematik. Segalanya telah berlalu, tak mungkin masa berpatah balik. Namun, saya akan berusaha untuk menjiwai matematik sekadar yang saya tahu dan ingat. Matematik mengajar tentang ketepatan fakta, tidak boleh lebih kurang, andaian dan agak-agak.

Terima kasih Cikgu, saya dan juga kawan-kawan memohon ribuan ampun dan maaf atas kealpaan dan kelalaian kami. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas usaha ikhlas Cikgu-cikgu mendidik kami!

( Bukan sahaja matematik, semua ilmu adalah harta orang mukmin yang tercicir, kutiplah ia walau di mana kita temui dan dalam keadaan bagaimana sekalipun. Semua ilmu yang bermanfaat akan mendekatkan hambaNya kepada Dia; Al-’Alim, al-Hakim)


Ikhlas dari,
FarahDina

No comments: