10 April 2008

HARI INI DALAM SEJARAH

Besok sepatutnya saya masih ada satu kelas lagi. Tapi disebabkan bilik kuliah telah disusun untuk tujuan peperiksaan, saya menamatkannya hari ini.

Pukul 10.30 pagi tadi berakhirlah sudah tanggungjawab mengajar untuk semester ini. Pelajar-pelajar datang mencium tangan dan berpelukan dengan saya dan sesama sendiri. Macam lama tak jumpa atau nak berpisah lama, kata Asma’ ul Husna ! Pelajar-pelajar kelas ini sebenarnya dari berbagai fakulti.Saya kumpulkan mereka setelah masing-masing mempunyai masalah di kelas asal. Antaranya kerana kelas dah penuh, bertembung waktu dengan subjek lain dan macam-macam lagi. Maklumlah pelajar UiTM cukup ramai. Menyusun jadual waktu sahaja bukan satu pekerjaan yang mudah. Saya terlibat juga sikit2 dalam menyusun jadual waktu. Hari Isnin ni dah bermula tugas-tugas berkenaan untuk pengajian semester Julai 2008.

Remaja selalunya kreatif ! Itu yang terlintas di fikiran saya bila Shahrul Fazly membuka kata: ”Hari ini saya akan membentangkan tugasan saya bersama Yap Ah Loy ; apa nama? sebut sikit, saya tak pandai sebut .” Pelajar-pelajar lain ketawa. ”Aloysius Claudius Rumpu”; tuan empunya nama menyebut namanya. Saya teringat kawan-kawan Gen77 masing-masing ada nama timangan dan gelaran waktu zaman remaja di KIK! Di kalangan pelajar perempuan ada IL, Kak Yee ( rupanya nama mak dia :) ), Kak Kay, Kak Gay , Dim (Dimple :) ), Tim , Rin, macam-macam lagi, dan pelajar lelaki tak tahu pulak saya.

Semalam, oleh kerana agak letih, saya juga telah menonjolkan idea kreatif dengan meminta pelajar saya Rehn menjawab soalan ’open book test’ . Saya berikan sebuah buku dan tandakan tajuk ’Islam dan Kapitalisma’ dan meminta dia menjawab soalan yang telah saya sediakan. Sementara Rehn terbongkok di hadapan saya membaca apa yang diberikan, saya membuka komputer.Sedang saya menaip sesuatu, Rehn tersandar di kerusi . ”Kenapa?” , saya bertanya . ” Kalau macam tu MLM haram dalam Islam?”Dia mengaitkan apa yang dibaca dengan pengalamannya. Saya sekadar menambah sikit-sikit berdasarkan pengetahuan yang terhad tentang hal ni. Dalam kepala saya; dia sudah boleh membuat analisa sendiri berdasarkan prinsip2 asas ekonomi Islam yang diketahuinya!

Saya teringat ketika mula-mula pelajar ini datang kepada saya. Dia berkata kepada saya; ”Saya tidak begitu pandai Bahasa Melayu, boleh saya buat assignments dalam bahasa Inggeris?” Saya mengatakan saya tak kisah, dalam bahasa apa pun tak apa.Bahasa Cina pun boleh. Jika tak faham saya akan cari penterjemah. Saya dapati dalam kelas2 di awal semester, bila saya bercakap tentang Islam Rehn akan menceritakan kepada saya tentang Kristian. Ada ketikanya saya bertanya dahulu kepadanya tentang sudut pandangan Kristian kemudian saya ulas dan simpulkan mengikut pandangan Islam . Akhirnya jangkaan saya bahawa saya tentu akan rasa bosan terpaksa mengadap sorang pelajar sehingga dua jam berterusan adalah tidak tepat. Rehn akhirnya seperti tidak cukup masa untuk bertanya berbagai-bagai perkara tentang Islam. ’Open book test’ itu pun saya suruh bawa balik buat di rumah!

p/s Mohd Yusuff Nawang: Saya mengajar di UiTM Shah Alam. Masa dulu-dulu saya selalu nampak Zulkarnain di sini, tak tahu pulak rupanya dia dah pergi terlebih dahu meninggalkan kita. Ingat tak masa Lower Six bapa angkat / guru kelas kita Cikgu Misbah tolong belikan saham untuk kita semua menggunakan duit biasiswa ? Akhirnya masa nak balik cuti kita dapat duit banyak . Kenapa agaknya ya, waktu dalam kelas masa Cikgu Md.Din dan Cikgu Tarmizi mengajar, dia orang suka sebut nama anda?


Wassalam
FarahDina

No comments: