16 April 2008

Doa dan Harapan

Saya amat mengkagumi kawan-kawan yang pandai menulis di blog ini, saya juga cuba menulis tapi...mungkin terlampau banyak yang nak ditulis kesudahannya ianya hanya tinggal didalam kotak fikiran sahaja.
Farah dan kawan-kawan semua- terima kasih atas doa dan sokongan yang diberi. Betullah kata Tok Lah ,kekuatan yang ada pada kita adalah doa. Hanya pada Allah sahaja segala doa dan harapan dipohon.
Sebenarnya saya selalu memikirkan,dalam kehidupan saya yang amat bahagia dengan suami tercinta dan anak-anak yang meningkat dewasa,ujian apakah yang akan Allah Swt.berikan kepada saya dan inilah yang menguji keimanan saya. Ujian ini banyak mengajar saya tentang kehidupan,persahabatan,persaudaraan,dan segala macam yang saya terlepas pandang selama ini.
Alhamdulillah,atas sokongan suami,anak-anak dan sahabat-sahabat saya mengharunginya dengan tabah walaupun sekali sekala rasa takut yang amat sangat berjaya juga menyelinap di sanubari ini. Saya tidak boleh menipu diri sendiri.Walaubagaimanapun saya tak bolehbiarkan perasaan takut menguasai diri. Saya juga cuba elakkan diri dari mendengar atau membaca cerita-cerita sedih kerana ianya akan memberi kesan yang tidak baik kepada diri saya. Saya juga tidak mengharapkan simpati,apa yang perlu adalah melihat kehadapan dengan doa dan harapan.
Kalau nak difikirkan,ada ramai lagi yang lebih malang dari kita sendiri,oleh itu kita patut bersyukur dengan apa yang ada. Seperti kata Che'Pah, usaha mesti diteruskan untuk mendapatkan rawatan dan itulah yang saya lakukan sekarang. Saya harap selepas ini saya tidak akan bercerita lagi tentang hal ini.
Saya cuba mengimbau kenangan manis semasa di KIK bersama kawan-kawan,tapi tak banyak yang dapat dicapai....
Cuma,buat masa ini saya selalu teringat Pak Cik yang tolong bantu kita semasa melintas jalan untuk balik ke asrama....siapa nama dia? ada sesiapa yang ingat ? dia selalu menjemput ramai diantara kita untuk makan dirumahnya....saya tak dapat lupa puding yang disediakan...setiap kali dijemput,puding itulah yang diterjah dahulu...
Sekian sahaja.
Rohana.

No comments: