30 July 2012

RAMADHAN YANG DI NANTI

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt, masih lagi diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan al Mubarak tahun 1433H. Ibadah al Saum atau puasa yang difardukan oleh Allah swt pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang cukup besar. Persoalanya ialah adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.Kedatangan Ramadhan amat dirindui dan hilangnya ramadhan akan ditangisi. Hanya orang menghayati kelebihan Ramadhan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183. {Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertaqwa}. Hanya orang yang beriman sahaja , mampu menyahut seruan dan panggilan Allah swt untuk berpuasa. Mereka akan bersegera dalam menyahut seruan Allah swt. Oleh itu, marilah kita semua mengambil peluang yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah swt serta mendapat pengampunan daripada-Nya.
Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh al-Imam al-Ghazali. Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.
Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpa amanah puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya. Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”. Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.
Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain. Banyak lagi rahsia ibadah puasa yang boleh di ambil dari pelbagai aspek dan sudut. Dari aspek ekonomi, kekeluargaan, kejiranan dan kemasyarakatan dan lain-lain lagi yang banyak telah diterangkan oleh para alim ulamak dan pakar perubatan. Didoakan semuga semua rakan-rakan genkik77 beroleh rahmat dan maghfirah sepanjang Ramadhan al Mubarak. "SELAMAT MENERUSKAN IBADAH PUASA" Wallahu’alam. Wakman.

No comments: