03 July 2009

Contoh Kepimpinan




Didoakan semua teman2 sehat wal'afiat.

Disertakan tulisan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman mengenai kepimpinan Saidina Umar untuk diteladani.


KISAH 1: Khalifah Umar Al-Khattab dan harta gabenor dan pegawainya

Umar al-Khattab sangat tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara. Setiap pegawai yang dilantik diminta melakukan deklarasi harta dan peningkatan hartanya kerap disemak.

Jika peningkatan berlaku, Umar al-Khattab mengambil separuh untuk Baitul-Mal dan dalam beberapa keadaan beliau mengambil semuanya.

Umar al-Khattab turut sering melakukan lawatan mengejut ke rumah pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar al-Khattab:

a. Gabenor kerajaan Islam di Mesir ketika itu, ‘Amr bin Al-‘As, dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Umar al-Khattab marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut:

“Aku mendengar kamu membina satu mimbar supaya boleh meninggikan dirimu daripada umat Islam. Adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu. Aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu.”

b. Dalam keadaan lain, Sa’ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya (ketika itu sungguh janggal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya) sehingga orang ramai menggelarnya ‘Istana Sa’ad’.

Dinyatakan Sa’ad membina pagar itu kerana rumahnya berhampiran pasar dan sangat bising. Apabila berita itu sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar daripada manfaatnya lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar berkenaan.


c. Umar al-Khattab melantik Mujasha’ bin Mas’od untuk beberapa tugasan dan kemudian mendapat laporan isteri Mujasha’ bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru selain hiasan dinding.

Beliau menghantar surat kepada Mujasha’ supaya mengoyakkan semua hiasan dinding itu. Mujasha’ menerima surat itu ketika bersama orang ramai lalu dengan segera beliau mengarahkan isterinya keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumahnya dan membantu mengoyak selain menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli oleh isterinya.

Sebenarnya, Umar al-Khattab tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha’, kerana itu diarahkan sedemikian. Pembaca juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar al-Khattab.

d. Umar al-Khattab pernah melawat pegawainya di Syria dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah.

Ketika Umar al-Khattab memasuki rumah itu, dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan.

Umar al-Khattab mula mengambilnya sambil berkata: “Barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka daripada kesejukan dan panas.”

e. Umar al-Khattab juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik-beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikan beliau mendapati ada keraguan. Contohnya, beliau mengambil sebahagian harta Abu Bakrah. Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan: “Aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan).”

Umar al-Khattab menjawab: “Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul-Mal, dan dia memberi beberapa pinjaman kepadamu supaya kamu boleh berniaga dengannya.”

Kesimpulannya, semua tindakan Umar al-Khattab tidak diambil secara sembrono.

Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Umar al-Khattab itu sebagai bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan gabenor dan pegawainya yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan jawatan mereka.



KISAH 2: Khalifah Umar Al-Khattab dan Khalid Ibn Walid

Khalid Ibn Waled yang terkenal sebagai ‘Pedang Islam’ dua kali dilucutkan jawatan oleh Umar al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar al-Khattab dilantik khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.

Namun kedua-dua peristiwa itu bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, sebaliknya disebabkan perkara berikut:

a. Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah SWT. Ia jelas daripada surat umum yang dihantar Umar al-Khattab kepada umat Islam, memberitahu supaya mereka tidak terlalu ‘attached’ kepada Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah SWT.

b. Pentadbiran iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.

c. Pentadbiran: Umar al-Khattab inginkan ketelitian dan laporan berterusan daripada setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentadbiran yang bebas daripada penelitian sepanjang masa oleh Khalifah.

Pada waktu Khalid dipecat daripada jawatannya sebagai gabenor di Syria, beliau berkata: “Amir al-Mukminin (Umar al-Khattab) melantik aku sebagai gabenor dan selepas urusan menjadi licin dan lancar, beliau melucutkan jawatanku.”

Lalu seorang lelaki berkata: “Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah.” Khalid membalas: “Selagi anak Al-Khattab itu hidup, selagi itu tiada ruang fitnah untuk berlaku.”

Demikian hormat dan yakin Khalid terhadap Umar al-Khattab walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan. Amat difahaminya tindakan Umar al-Khattab adalah untuk mengelak fitnah.

Ketika Khalid hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda: “Wahai Abu Darda, bila Umar al-Khattab wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku.”

Dan beliau berkata lagi sambil mengelap air matanya: “Aku memang sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi selepas aku fikirkan kembali berkenaannya ketika aku sakit ini, aku menyedari Umar al-Khattab melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah SWT.”

Khalid juga melantik Umar al-Khattab sebagai waasi (pengurus harta pusakanya). Ketika Umar al-Khattab menerima surat wasiat itu, beliau turut menangis. Cuba kita bayangkan ketegasan Umar al-Khattab dan bagaimana tingginya taqwa beliau dan juga sahabat bersamanya.

Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya? Ini kerana Umar al-Khattab sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dulu.

Cuba pula kita bandingkan kehidupan pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika ada di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab? Sesungguhnya wahai Umar al-Faruq, kami merinduimu dan pemerintahanmu.

Salam hurmat dari
Wakman Insan Kerdil.

No comments: