16 May 2008
Kita Semua Guru
Hari ini Jumaat 16 Mei 2008 adalah tarikh jatuhnya sambutan Hari Guru. Semua sedia maklum tentang sambutan hari ini adalah khas untuk kakitangan awam yang bertitle " cikgu". Khutbah Jumaat di Masjid Kampung saya hari ini juga membicarakan topik serupa, hari guru. Dan, kita sering terlupa sebenarnya Guru Besar kita adalah Rasulullah SAW.
Dalam Kamus Dewan :
1. Guru bermaksud " orang yang mengajar, pendidik, pengajar, pengasuh.
2. Perkataan " berguru" bermaksud " belajar" atau " berlaku atau bertindak seperti guru.
3. Bergurukan bermaksud " menjadikan seseorang sebagai guru.
4. Keguruan bermaksud " yang berkaitan dgn guru, yang berkaitan dgn peranan, tugas, kelayakan sebagai guru.
5. Perguruan pula membawa maksud a. sekolah, tempat belajar. b. Pengajaran. c. yang berkaitan dgn guru spt, maktab.
Maaf, memberikan definisi agak panjang sikit. Bukan nak mengajar. Yang saya nak bawakan adalah sudut pandang yang lain sedikit dari kebiasaan. Kerja kita sebagai guru, yang dipanggil sebagai guru dan pensyarah dan seumpamanya, tiada apa-apa salahnya. Betul dan tepat.
Maksud saya, dalam dalam kontek kehidupan seharian kita, semua kita adalah guru. Kerja kita dan panggilan kita itu adalah yang resmi. Kita semua adalah guru. Seorang lelaki dan suami adalah guru kepada anak-anak dan isteri. Isteri adalah guru kepada anak-anak dan suami. Jiran adalah guru kepada jiran yang lain. Anak-anak kita berguru dengan sesama mereka. Sama ada abang atau kakak menjadi guru kepada adik-adiknya atau sebaliknya.
Yang kerja resminya bukan mengajar juga adalah guru. Doktor adalah guru kepada orang yang berkerja bersama dengannya. Pengurus syarikat adalah guru kepada semua kakitanganya. Begitulah perumpamaannya kepada lain-lain bidang. Hakikatnya kita semuanya adalah guru dan murid kepada seseorang atau sekumpulan orang.
Bertepatanlah dengan Sabda Nabi yang bermaksud " tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad ". Kita sebenarnya sentiasa belajar setiap masa. Masih ingat lagi saudara/saudari semasa mula-mula Blog ini diwujudkan?. Masa itu tentu ramai yang tak tahu cara nak masukkan tulisan dan gambar ke sini. Betul?. Termasuklah saya sendiri. Maka atas inisiatif dan usaha gigih Guru kita Asmawi, maka kita semua sekarang sudah lulus [ kalau pun tidak cemerlang ].
Jadi sempena Hari Guru tahun ini marilah sama-sama kita ucapkan " Selamat Hari Guru " kepada semua guru kita dan diri kita sendiri. Sekian wassalam.
Mohd Sanusi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment