25 October 2008

copy n paste dari blog kekanda Mod Mawi (Abd Hadi) - mohon izin!

Sunday, October 19, 2008
DALAM KENANGAN: Pemergian Ustaz Husein b Unang Ke Rahmatullah.

Pagi ini Ahad 20 Syawal 1429H bersamaan 20 Okt 2008, jam 6.54 a.m tadi saya menerima SMS dari adik di Sg. Buloh, Asmawi Muhamad begini bunyinya:

"....Assalamualaikum.Untuk makluman Ustaz Husein b. Unang telah kembali ke rahmatullah. Solat jenazah 11.30 pagi di surau seksyen 6 Shah Alam (20.10.2008). Alfatihah."



Saya terus menyebut 'Innalillahi wa inna ilaihi raji'uun' dan membaca surah Al-Fatihah dengan niat pahala bacaan buat al-marhum Ustaz Husein yang kami mulia dan hormati itu, juga dengan doa semoga ruh beliau ditempatkan bersama para solihiin. Segera pula saya forwardkan berita SMS itu kepada beberapa orang sahabat seangkatan / sekolej dahulu memeritahu berita kewafatan itu, antaranya ialah sdr Hj Ariffin Mohd Amin KS Japim JPN Selangor, sdr Sujaidi Dasuki Penulis/wartawan , sdr Ismail Yusoff SPR Pahang, sdr Hj Nik Mohd Azmi N Abd Rahman KL, sdr Hj Razali Mamat Ibu Pejabat MARA KL, sdr Hj Johan Abd Rahman seorang Guru Besar, sdr Hj Che Ku Razak Ku Mohamed mantan Pengetua SMKA Sheikh Abd Malik, sdr Hj Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ustaz Ibrahim Tahir Kuala Terengganu.



Juga saya SMSkan berita ini kepada Pn Hjh Halimaton Mohd Abu dan sdr Us Hj Shamsuddin Mohd Noor ( Tok Wan) guru di Kedah sdr Us Hj Abd Aziz Abd Rahman Politeknik Kok Lanas Kelantan, sdr Us Hj Ibrahim Daud mantan Pengetua SMK Kubang Kerian 2 dan beberapa orang lagi rakan yang saya miliki no Hp mereka. Harapan saya semoga rakan-rakan tadi pula akan menyebarkan berita syahdu ini kepada rakan-rakan yang lain.



Mengenali almarhum bermula di Kota Bharu lebih kurang Januari 1970. Beliau mengendali temuduga untuk memasuki Kolej Islam Kelang bersama Cikgu Mokhtar.
Kami diterima masuk kolej yang terkenal itu mengisi tingkatan 4. Almarhum adalah tenaga pengajar bagi mata pelajaran Bahasa Arab yang hebat dengan suaranya yang jelas dan pengajaran yang mudah difahami. Selaku warden asrama KIK beliau sering mengimami solat jemaah di musalla. Bila membaca ayat-ayat di dalam solat, saya masih ingat akan suaranya yang jelas dengan lagunya yang merdu. Sewaktu melawat atau memeriksa bilik-bilik asrama atau dorm-dorm, selalunya almarhum amat bertegas tentang kekemasan, kebersihan dan menekankan disiplin asrama.



Beliau suka menegur kesilapan kami selaku pelajar/penghuni asrama serta membimbing kami dengan begitu bersungguh-sungguh kadang-kadang kami berasa kecut perut dan kadang-kadang melucukan. Kami masih ingat itu semua apatah lagi bagi kami yang pernah menghuni Asrama Koboi tepi pagar kolej yang misteri tu. Bila siap asrama baru, kami dipindahkan dan masih berimamkan almarhum dalam solat jemaah di musalla. Almarhum tidak mengajar kami di tingkatan 6, namun beliau sering memberi tazkirah atau kuliah subuh di musalla.



Selama empat tahun kami belajar di KIK sekolah asrama penuh itu hingga berjaya dalam peperiksaan STP dan masuk universiti. Sebahagian dari kami ada yang berjaya baik dalam peperiksaan SPM telah lebih dahulu meninggalkan kolej menyambung pelajaran di institusi lain, namun hubungan kami tidaklah putus. Dengan STP banyak di kalangan kami yang memasuki Fakulti Pengajian Islam UKM.



Dalam tahun 1976 sewaktu di Tahun 2 UKM, kami bersama almarhum semula, tetapi beliau waktu itu selaku seorang mahasiswa pula; beliau menyambung pengajian di Jabatan Bahasa Arab dan Tamaddun Islam melalui Sijil Tertinggi Kolej Islam Malaya yang melayakkan beliau terus menduduki Tahun 2 di FPIUKM. Kami sama-sama berkuliahan di Bangi. Setelah berpisah di UKM 1979, kabarnya beliau meneruskan pengajian pada peringkat Sarjana dalam bidang Bahasa Arab. Saya kemudiannya berkhidmat di Kuantan dan kemudiannya kembali bertugas di Kelantan 1986 hingga sekarang.



Sejak meninggalkan KIK, saya acapkali ke kolej tersebut kerana adik-adik saya juga berada menuntut di sana. Norani Muhamad kini guru di sebuah sekolah menengah di Putrajaya, Asmawi Muhamad bertugas di sebuah syarikat di KL, Mohamad Dani pensyarah di UITM Shah Alam, Ahmad Kailani Muhamad juga bertugas dengan syarikat di KL, Siti Junaidah Muhamad pensyarah UIAM; mereka adalah lepasan KIK sudah tentu pernah belajar dengan almarhum Ustaz Husein b Unang.



Sudah tentulah sejak meninggalkan KIK dahulu hingga kini sudah ramai kalangan guru KIK (kini KISAS) yang telah meninggal dunia. Beberapa orang yang sempat tiba berita kematian mereka ke pengetahuan saya ialah Pengetua yang kami kasihi Us Hj Nik Mahyuddin Musa, Us Shafei Mohd Zain, Us Megat Abdullah b Megat Yaman (pernah bertugas dengan Yayasan Islam Kelantan, pengetua Maahad Muhammadi Lilbanat) , Cikgu Osman dan Cikgu Mohd Isa warden asrama (dua-dua guru sujek Kimia, orang Melaka). Mungkin ada ramai lagi yang telah mendahului kita mengadap Yang Maha Pencipta. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas arwah mereka.



Hari demi hari berlalu kita semakin beransur tua, makin ramai kalangan guru malah rakan-rakan kita juga yang telah mendahului dan meninggalkan kita ke alam barzakh. Yang tinggal bersama kita ialah nostalgia, kenangan bersama mereka dan ilmu mereka kepada kita. Mungkinkah ada kalangan kita yang telah berdosa terhadap mereka; ada salah laku atau silap pertuturan selama mengenali dan bergaul dengan yang telah pergi itu? Atau pernah menyinggung perasaan guru-guru kita itu? Maka ada sangat baiknya kita baca Al-fatihah menghadiah pahala kepada mereka yang banyak berjasa itu, mohon keampunan Allah kepada mereka, doakan Allah merahmati mereka serta menempatkan mereka bersama golongan orang-orang yang muttaqiin.


Allahummaghfirlahum warhamhum. Amin.
Posted by Abdul Hadi at 6:44 PM

No comments: