09 August 2008

Mangkuk

Semalam dalam forum di INTEC sempena Isra’ Mikraj , Dr Jamnul Azhar ada menyebut bahawa generasi hari ini ramai jadi ‘mangkok hayun’. Sebab itulah masa Isra’ Mikraj Rasulullah SAW telah memohon sendiri kepada Allah SWT supaya dikurangkan rakaat solat yang asalnya diperintahkan 50 rakaat. Memang betul.....


Apa maksud ‘mangkok hayun’? Saya cuba membelek-belek kamus Peribahasa Melayu-Inggeris yang baru beberapa hari saya beli di Pesta Buku namun tidak menemui perkataan ‘mangkok atau mangkuk hayun’. Sebelum itu pun, bila YA menyebut ‘mangkok hayun’ saya jenuh menyelam mencari istilah ini di internet. Apa yang saya temui istilah ini gemar digunakan oleh remaja terhadap sesama mereka.....
Saya mula-mula mendengar istilah ini ketika dalam darjah empat di sekolah rendah; SKGC. Saya budak baru masuk. Aruah Cikgu Ismail Yahya ( ayahanda senior KIK Yusri Ismail ) menempik kuat di perhimpunan; “Mangkok hayooooon.!” Suasana kanak-kanak sekolah yang sedang hingar-bingar tiba-tiba menjadi sunyi sepi. Terasa lucu ketika itu bila saya membayangkan mangkuk-mangkuk tin / stainless steel yang digantung berlaga sesama sendiri mengeluarkan bunyi bising; ‘klong klang klong klang’. Ketika itu saya membuat kesimpulan ‘mangkok hayun’ ertinya ialah ‘orang yang bising’.

Bising pada tempatnya tidak mengapa. Masalahnya ialah tidak pada tempatnya.....Riuh rendah tapi kosong.Kepada para remaja terutamanya; usahlah jadi ‘mangkok hayun’. Membuang masa tak tentu pasal; merempit, ‘clubbing’, siang tidur malam berjaga, malas belajar, tinggalkan solat dan sebagainya...

Maksud firman Allah SWT dalam surah al-‘Ankabut ayat 45:

“Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.”

p/s Kepada sdr Ali Osali yang sedang dirawat di SJMC, didoakan mudah-mudahan cepat sembuh. Sesungguhnya sakit itu juga adalah ujian Allah sebagai tanda kasihnya kepada kita hambaNya.

Wassalam
FarahDina

No comments: