25 March 2008

MANA TEMAN YANG LAIN?


Apa khabar semua?, WM doakan semuanya sehat dan gembira disamping keluarga dan kerjaya masing-masing. WM terpanggil untuk bertanya mana teman-teman yang lain, dah lama tak berbicara dan menulis di blog. Hj. Mang pun dah risau. Sibok dan terlalu sibok agaknya. Walau bagaimana pun WM harapkan semua dapat membuka blog dan bertaaruf mengikut jadual yang ditentukan.
Dunia semakin mencabar terutama dalam persaingan dunia ICT.

INTERNET merupakan rangkaian media komunikasi yang berkembang pantas merentasi zaman. Berjuta pengguna melayarinya setiap saat. Kini, perkara yang dulunya sekadar menjadi teori di bilik-bilik kuliah sedang menghambat setiap ahli masyarakat di serata dunia supaya mempelajarinya. Ledakan maklumat serta kederasan pertumbuhan internet memungkinkan semuanya menjadi kenyataan. Ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) sudah pun diakui sebagai pentas ekonomi pada masa depan.
Kemampuan serta keupayaan daya saing individu, syarikat sehingga kepada sesebuah negara diukur daripada kemampuan menguasai elemen teknologi maklumat ini. Oleh itu, apakah persediaan kita untuk menghadapi cabaran ini?
Pada hari ini, negara yang melonjak pertumbuhan ekonominya mempunyai keupayaan berdaya saing serta menjadikan k-ekonomi sebagai penggerak utama pertumbuhan ekonominya.
Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan ini, kemampuan minda untuk menginovasi menjadi pengukur keupayaan ekonomi. Pengurusan yang membelakangkan k-ekonomi akan menjadi usang dan akan melebarkan jurang digital di peringkat pembuat keputusan.
Dari segi perniagaan, mereka yang tidak berdaya bergerak menuruti tuntutan dan perubahan ledakan maklumat lambat laun akan rasa tersisih dalam persekitaran perniagaannya.
Selain itu, perubahan dalam bentuk penyiaran kepada interaktif merupakan asas kepada generasi internet. Mereka mahu menjadi pengguna bukan sekadar penonton.
Internet sebenarnya sedang memberi kesan kepada kita semua. Kaedah mendapatkan kekayaan, struktur organisasi, sifat perdagangan dan pemasaran, penyediaan sistem bagi hiburan dan pembelajaran merupakan bidang-bidang yang cepat berubah.
Menyedari hakikat ini, kita perlu mengambil sikap proaktif mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan kecekapan kerana ia kini menjadi asas kejayaan dalam persaingan k-ekonomi.
Jika sedekad yang lalu, e-dagang, k-ekonomi dan kaedah digital menjadi sekadar teori pakar-pakar teknologi untuk menghadapi persaingan dalam era globalisasi, kini ia menghendaki kita bertindak sebagai pelayarnya secara realitinya.
Sekadar suatu pertanyaan, adakah kita masih membuang masa menderaf surat menggunakan pen atau pensil atau terus mengadap komputer untuk mendapatkan maklumat dan mencepatkan kerja?
Jika kita masih fobia menggunakan komputer dalam apa juga perkara, percayalah ledakan maklumat yang mendepani kita tidak akan menunggu sebaliknya ia akan meninggalkan kita lebih jauh dan melebarkan jurang digital sedia ada.
Sukran, WM insan kerdil.

No comments: