24 January 2012

Tazkeerah 2012









MANUSIA DAN KEHIDUPAN.

Kehidupan manusia adalah kehidupan yang sementara, bermula dari proses penciptaan manusia yang begitu sempurna dan disediakan dengan pelbagai kemudahan kehidupan oleh Pencipta alam semesta. Maka sudah semestinya sebagai manusia, mensyukuri kejadian dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Swt. Kekuatan yang ada pada diri manusia bermula dengan serba kelemahan dan kedaifan, kemudian manusia mendapat kekuatan dari pelbagai aspek kekuatan. Kekuatan fizikal, mental, ilmu, ekonomi, politik, pemerintahan dan lain-lain. Namun manusia perlu sedar kekuatan yang ada akan disusuli dengan kelemahan. Allah swt menerangkan dalam Al Quran “ Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas keadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat, setelah itu Ia menjadikan kamu lemah semula: {surah ar Rum : 54}.


Mungkin manusia merasakan dirinya gagah, kuat dan mampu melayari kehidupan tanpa petunjuk dan bantuan makhluk lain. Dakwaan itu ada salah dan menyeleweng dari fitrah kejadian manusia. Manusia memerlukan kekuatan dan kekuatan yang gagah perkasa bukan milik manusia. Kekuatan dan keperkasaan dalam semua aspek adalah milik Allah swt. “ Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya) (dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang amat kuat kukuh kekuasaanNya” {surah Al Zariyat : 58}
Begitu juga manusia yang beranggapan bahawa dia mampu menerokai alam ini tanpa petunjuk. Kecanggihan alat teknologi mampu menunjuki arah dan jalan yang lurus. Sedangkan highway yang di bina dengan nilaian kos ratusan juta tidak akan bermakna seandainya tidak ada petunjuk jalan. Peralatan canggih dan moden tidak akan berfungsi tanpa adanya manual panduan penggunaanya. Justeru itu, manusia perlu kepada petunjuk. Petunjuk yang menguasai segala-galanya, Petunjuk yang mengenali kelemahan diri manusia lantaran Dialah yang menciptakan manusia. Manusia perlu petunjuk Allah Swt. “ Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah petunjuk yang sebenar” {surah Al Baqarah : 120}.
Manusia yang mencari petunjuk lain selain petunjuk Allah, adalah rugi dan akan menyesal. Manusia tersebut walaupun pada zahirnya mempunyai kekuatan tetapi sebenarnya adalah sesat dan menyeleweng .”Dan tidaklah ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan petunjuk dari Allah”. {surah Al Qasas :50}.
Panduan dan petunjuk Allah swt adalah lengkap dan sempurna. Sesuai disepanjang zaman lehidupan manusia. Panduan inilah yang semestinya digunakan dalam merancang kehidupan supaya tidak terbabas dari landasan yang digariskan untuk manusia “ Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Ku, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara” { Surah Toha 23}.
Manusia yang telah menerima dan yakin dengan petunjuk Allah, akan terus berusaha mematuhi garis panduan kehidupan yang telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya melalui Al-Quran dan Al-Sunnah dari masa kesemasa. Seandainya berlaku penolakan kepada petunjuk yang ada maka masalah sosial kehidupan yang terus berlaku dan melanda kehidupan manusia hari ini.




Gejala atau masalah sosial yang berterusan bagaikan arus deras yang menerjah mimpi indah kehidupan manusia.Kehidupan yang aman damai, harmonis tercalar lantaran masalah sosial terus meningkat. Gejala skinheads, blackmetal, punk, kecanduan dadah, estasy, pil-pil kuda , kes-kes kesalahan jenayah syariah dan jenayah seksual meliputi rogol, liwat, keganasan rumahtangga, sumbang mahram dan lain-lain.
Bila direnungkan halangan-halangan dalam kehidupan ini, punca utamanya ialah manusia yang tidak memanfaatkan dan membenarkan akujanji penerimaannya sebagai hamba Allah swt. Kesempurnaan Islam dan Qudwah kepimpinan RasululLah Saw telah terserlah dalam membina kecemerlangan ummah manusia yang bertamaddun. “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu ” {surah al Maidah :3} dan manusia perlu mematuhi syariat dan panduan-panduan yang terkandung dalam petunjuk kehidupan manusia yang syumul.



“Dan telah sempurnalah kalimat Tuhan mu (al Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil, tiada siapa yang dapat mengubah (sesuatu pun) dari kalimat-kalimatNya dan Dialah yang sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui”.{surah al An’am :115.

Salam Hurmat
wakman
5sas2kik77