09 December 2008

KORBAN DAN PENGORBANAN

Salam sejahtera untuk semua teman dan guru-guru. Doa agar kalian semua beroleh kesejahteraan dan kebahagiaan bersama keluarga.Saban tahun ungkapan korban dan pengorbanan terus berkumandang seiring dengan semangat yang sediaada dalam sambutan eidul Adha. Pengorbanan nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail. A.S. Watak dan gaya lakonan mereka terus dihayati khususnya oleh tetamu-tetamu AlLah swt. Watak-watak utama dalam Ibadah haji, Adam, Ibrahim, Hajar dan syaitan. latar belakang dapat dilihat ialah Masjidil Haram, Tanah Suci, Arafah, Mahsyar dan Mas'a. Manakala simbol utama yang pasti dilihat ialah Kaabah, Safa Marwah, siang, malam, matahari terbit, matahari terbenam, pakaian ihram dan acara korban. Falsafah Haji begitu besar, siapa pun kita, ia adalah pemegang watak dan peranan sebagai Adam, Ibrahim dan Hajar dalam konfrontasi antara AlLah dengan syaitan. Kalian adalah merupakan pahlawan dalam persembahan ini. Saban tahun umat Islam dari pelusuk dunia menyertai perhimpunan agong, semua sama, tidak ada diskriminasi dari segi bangsa, jantina atau status sosial. Manasik Haji mesti difahami dan dihayati oleh umat Islam. Seruan Allah " Dan serulah manusia untuk mengerjakan ibadah Haji. Mereka akan datang kepada Mu dengan berkaki ayam atau menunggang unta yang sudah lemah dan mereka akan datang kepada Mu dari setiap penjuru padang pasir yang amat jauh" Justeru itu, semangat pengorbanan semestinya kita teruskan dalam usaha membangun umat manusia supaya mereka sedar bahawa kehidupan ini adalah sementara waktu, kita akan pergi bertemu Allah. Persoalannya, adakah pemergiaan kita nanti, seumpama tetamu-tetamu Allah di musim haji atau bagaimana ? " {Sesungguhnya kita adalah kepunyaan AlLah dan kepadaNya kita akan kembali}".

Sebagai renungan ibadah haji adalah ajaran yang jelas terkandung dalam Al-Qur'an. Amalan melontar di jamrah, adalah lambang penolakan manusia kepada sistem yang bercanggah dengan syariat. Syaitan yang cuba mengoda Nabi Ibrahim mesti ditentang oleh umat manusia. Persoalannya ialah, mereka melontar syaitan di jamrah Ula, Wusta, Aqabah tetapi bagaimana pula semasa mereka pulang ke negara masing-masing. Sebahagian dari mereka terus menuruti kuasa firaun (lambang penindasan), kuasa qarun (lambang kapitalisme) dan kuasa bal'am (lambang kepura-puraan) Membicarakan topik haji memang menyeronokan, namun ruang dan masa yang terhad, justeru ingatan bersama marilah kita menghayati konsep pengorbanan yang telah dijelmakan dalam ibadah haji. Didoakan semua teman-teman yang sedang menunaikan ibadah haji akan beroleh HAJI MABRUR, SELAMAT PULANG KE TANAH AIR untuk terus berjuang. Salam Persaudaraan WakMan.

No comments: