Majlis Fatwa Kebangsaan semalam, mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruh kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka. Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin (Ex KIM), berkata senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, manakala kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam. Oleh itu, katanya, ahli majlis itu memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. “Bagaimanapun, pergerakan amalan fizikal yoga tanpa unsur berkenaan yang dilakukan pada zahirnya (secara luaran) tidak menjadi kesalahan, tetapi tidak digalakkan kerana ia adalah salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.“Oleh itu, masyarakat Islam wajib berhati-hati dan berwaspada daripada melakukan perkara yang boleh menghakis dan memesongkan akidah menerusi kepercayaan atau keyakinan hati, menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah dan perbuatan,” katanya . Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Jakim yang juga Setiausaha Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (Abang Sdr Dr. Mohd Husni- Ex KIK gen77) . Abdul Shukor berkata, senaman yoga yang diperkenalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi tidak sesuai bagi umat Islam kerana ada dua perkara didalamnya yang boleh menghakis akidah umat Islam iaitu kepercayaan untuk bersatu dengan tuhan dan mantera pemujaan.“Kita harap umat Islam lebih berhati-hati dan kalau boleh segera menghentikan kerana dikhuatiri kalau tidak tahu matlamatnya (bersatu dengan tuhan) boleh menyebabkan kita menjadi sesat. “Ini kerana ada umat Islam yang mengamalkan senaman yoga tetapi tidak tahu matlamatnya. Sebenarnya ilmu yoga mengandungi tiga peringkat iaitu ajaran untuk mendatangkan kesihatan, keduanya membersihkan jiwa dan kekuatan fizikal dan peringkat ketiga bersatu dengan tuhan,” katanya.
Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa (Ex KI) menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah. Amalan yoga didakwa dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung. Senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera. Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, Singapura dan Mesir turut mengeluarkan fatwa melarang umat Islam di negara itu mengamalkan senaman yoga kerana memutuskan perkara itu mengandungi bidaah dan sesat kerana mengandungi unsur agama Hindu. Katanya, keputusan melarang umat Islam melakukan senaman yoga dibuat dalam persidangan Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bahru, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober dan ia akan dipanjangkan kepada semua majlis agama Islam negeri untuk diwartakan.
No comments:
Post a Comment