27 June 2015
15 May 2014
TERIMA KASIH CIKGU
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
jumpa lagi....
wakman
Umur meningkat Ajal mendekat
Apa khabar semua?, muga semuanya diberkati dan dirahmati oleh Allah Swt Pencipta Alam semesta.
Kehidupan ini hanyalah sementara waktu, masa begitu pantas berlalu. sepantas kilatan cahaya menyambar. Namun ramai insan yang lupa dengan peredaran masa yang berlalu. Allah Swt menjelaskan dalam al Quran " Demi Masa Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" [surah al Asr : 1-3].
Dalam ayat di atas, AlLah Swt menerangkan bahawa manusia sentiasa berada
dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:
1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi
kukuh terhadap Allah Swt dan apa yang
disyari‘atkan oleh AlLah Swt.
2)Melaksanakan amal soleh. Ia bukan sekadar solat,
puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang soleh di dalam Islam seperti
berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam
pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.
3) Berpesan-pesan kepada kebenaran, memberi nasihat,
tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang
salah, juga melaksanaka amar maaruf nahi mungkar.
4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar
sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah dan
meninggalkan larangan Allah.
Lantaran itu, ayuh kita manfaatkan masa dan tenaga serta harta yang ada untuk melengkapkan diri supaya sentiasa memperoleh keuntungan dan kejayaan. Semuga pinjaman umur yang ada tidak disia-siakan.
Sekian, Jumpa lagi ..........
Wakman
05 January 2014
08 July 2013
Selamat Menjalani Ibadah Puasa
Selamat menyambut bulan Ramadan, semuga semua rakan-rakan gen77kik akan terus sehat, bahagia dan dirahmati Allah swt.
Lirik Lagu Ramadhan Bulan Berkat - Hijjaz Bulan Ramadhan bulan yang berkat/ Bulan rahmat dan bulan utama/ Pahala digandakan, doa diterima/ Bulan Lailatul Qadar yang istimewa/ Isilah bulan ini, banyakkan amalan/ Beribadah malam, siang berpuasa/ Banyakkanlah sedekah jgn dikira/ Moga ia menjadi penebus dosa/ Membaca Al-Quran jgn dilupakan/ Zikir dan Tasbih elok disertakan/ Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara/ Agar Ramadhan tidak sia-sia/ Hindarkanlah dosa di setiap anggota/ Kalau boleh dosa hati jua/ Kerna dosa itu merosakkan pahala/ Agar kita tidak mensiakan Ramadhan/ Isilah Ramadhan dgn sebaiknya/ Kerna ia datang setahun sekali/ Tahun hadapan belum tentu jumpa/ Kerna kita mati bila-bila masa/ Salam hurmat dari Wakman
Lirik Lagu Ramadhan Bulan Berkat - Hijjaz Bulan Ramadhan bulan yang berkat/ Bulan rahmat dan bulan utama/ Pahala digandakan, doa diterima/ Bulan Lailatul Qadar yang istimewa/ Isilah bulan ini, banyakkan amalan/ Beribadah malam, siang berpuasa/ Banyakkanlah sedekah jgn dikira/ Moga ia menjadi penebus dosa/ Membaca Al-Quran jgn dilupakan/ Zikir dan Tasbih elok disertakan/ Meriahkan Ramadhan dengan bermacam cara/ Agar Ramadhan tidak sia-sia/ Hindarkanlah dosa di setiap anggota/ Kalau boleh dosa hati jua/ Kerna dosa itu merosakkan pahala/ Agar kita tidak mensiakan Ramadhan/ Isilah Ramadhan dgn sebaiknya/ Kerna ia datang setahun sekali/ Tahun hadapan belum tentu jumpa/ Kerna kita mati bila-bila masa/ Salam hurmat dari Wakman
30 August 2012
17 August 2012
30 July 2012
RAMADHAN YANG DI NANTI
Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt, masih lagi diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadhan al Mubarak tahun 1433H. Ibadah al Saum atau puasa yang difardukan oleh Allah swt pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang cukup besar. Persoalanya ialah adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini?
Jika umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu Muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadan. Mereka akan berlumba-lumba memanfaatkan Ramadan dengan sebaik mungkin, serta bulan ini akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya.Kedatangan Ramadhan amat dirindui dan hilangnya ramadhan akan ditangisi.
Hanya orang menghayati kelebihan Ramadhan akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 183. {Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang sebelum kamu, semuga kamu menjadi orang yang bertaqwa}. Hanya orang yang beriman sahaja , mampu menyahut seruan dan panggilan Allah swt untuk berpuasa. Mereka akan bersegera dalam menyahut seruan Allah swt.
Oleh itu, marilah kita semua mengambil peluang yang telah disediakan oleh Allah pada bulan ini untuk mendidik diri ke arah ketakwaan kepada Allah swt serta mendapat pengampunan daripada-Nya.
Untuk memastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara khusus al-khusus seperti yang dijelaskan oleh al-Imam al-Ghazali.
Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat.
Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.
Dalam kegembiraan menyambut puasa Ramadan, kita seharusnya memahami dengan jelas hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna.
Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpa amanah puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna. Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.
Hanya orang yang berpuasa dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharap seseorang Muslim itu sentiasa prihatin dan memberi bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan.
Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.
Demikian juga dari sudut kesihatan. Puasa dapat merehatkan perut dan membetulkan alat penghadam, mengurangkan kegemukan serta menghilangkan lemak di badan yang boleh menjauhkan penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, lemah jantung dan sebagainya. Justeru, Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”.
Hadis ini memberi gambaran yang nyata pada diri kita akan hikmah di sebalik syariat berpuasa. Para pakar perubatan bersetuju bahawa kantung perut yang penuh disebabkan banyak makan adalah punca utama kepada bermacam-macam penyakit terutamanya kegemukan yang menyebabkan timbulnya pula penyakit lain.
Maka puasalah satu-satunya cara yang dapat memelihara anggota badan daripada semua penyakit kerana melaluinya unsur-unsur racun dalam makanan dapat dineutralkan setelah berpadu antara satu sama lain. Banyak lagi rahsia ibadah puasa yang boleh di ambil dari pelbagai aspek dan sudut. Dari aspek ekonomi, kekeluargaan, kejiranan dan kemasyarakatan dan lain-lain lagi yang banyak telah diterangkan oleh para alim ulamak dan pakar perubatan. Didoakan semuga semua rakan-rakan genkik77 beroleh rahmat dan maghfirah sepanjang Ramadhan al Mubarak.
"SELAMAT MENERUSKAN IBADAH PUASA"
Wallahu’alam.
Wakman.
27 March 2012
15 March 2012
12 March 2012
24 January 2012
Tazkeerah 2012
MANUSIA DAN KEHIDUPAN.
Kehidupan manusia adalah kehidupan yang sementara, bermula dari proses penciptaan manusia yang begitu sempurna dan disediakan dengan pelbagai kemudahan kehidupan oleh Pencipta alam semesta. Maka sudah semestinya sebagai manusia, mensyukuri kejadian dan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah Swt. Kekuatan yang ada pada diri manusia bermula dengan serba kelemahan dan kedaifan, kemudian manusia mendapat kekuatan dari pelbagai aspek kekuatan. Kekuatan fizikal, mental, ilmu, ekonomi, politik, pemerintahan dan lain-lain. Namun manusia perlu sedar kekuatan yang ada akan disusuli dengan kelemahan. Allah swt menerangkan dalam Al Quran “ Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas keadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat, setelah itu Ia menjadikan kamu lemah semula: {surah ar Rum : 54}.
Mungkin manusia merasakan dirinya gagah, kuat dan mampu melayari kehidupan tanpa petunjuk dan bantuan makhluk lain. Dakwaan itu ada salah dan menyeleweng dari fitrah kejadian manusia. Manusia memerlukan kekuatan dan kekuatan yang gagah perkasa bukan milik manusia. Kekuatan dan keperkasaan dalam semua aspek adalah milik Allah swt. “ Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja yang memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya) (dan Dialah sahaja) yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang amat kuat kukuh kekuasaanNya” {surah Al Zariyat : 58}
Begitu juga manusia yang beranggapan bahawa dia mampu menerokai alam ini tanpa petunjuk. Kecanggihan alat teknologi mampu menunjuki arah dan jalan yang lurus. Sedangkan highway yang di bina dengan nilaian kos ratusan juta tidak akan bermakna seandainya tidak ada petunjuk jalan. Peralatan canggih dan moden tidak akan berfungsi tanpa adanya manual panduan penggunaanya. Justeru itu, manusia perlu kepada petunjuk. Petunjuk yang menguasai segala-galanya, Petunjuk yang mengenali kelemahan diri manusia lantaran Dialah yang menciptakan manusia. Manusia perlu petunjuk Allah Swt. “ Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya petunjuk Allah itu adalah petunjuk yang sebenar” {surah Al Baqarah : 120}.
Manusia yang mencari petunjuk lain selain petunjuk Allah, adalah rugi dan akan menyesal. Manusia tersebut walaupun pada zahirnya mempunyai kekuatan tetapi sebenarnya adalah sesat dan menyeleweng .”Dan tidaklah ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan petunjuk dari Allah”. {surah Al Qasas :50}.
Panduan dan petunjuk Allah swt adalah lengkap dan sempurna. Sesuai disepanjang zaman lehidupan manusia. Panduan inilah yang semestinya digunakan dalam merancang kehidupan supaya tidak terbabas dari landasan yang digariskan untuk manusia “ Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari Ku, maka sesiapa yang mengikuti petunjuk itu nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara” { Surah Toha 23}.
Manusia yang telah menerima dan yakin dengan petunjuk Allah, akan terus berusaha mematuhi garis panduan kehidupan yang telah diterangkan dengan sejelas-jelasnya melalui Al-Quran dan Al-Sunnah dari masa kesemasa. Seandainya berlaku penolakan kepada petunjuk yang ada maka masalah sosial kehidupan yang terus berlaku dan melanda kehidupan manusia hari ini.
Gejala atau masalah sosial yang berterusan bagaikan arus deras yang menerjah mimpi indah kehidupan manusia.Kehidupan yang aman damai, harmonis tercalar lantaran masalah sosial terus meningkat. Gejala skinheads, blackmetal, punk, kecanduan dadah, estasy, pil-pil kuda , kes-kes kesalahan jenayah syariah dan jenayah seksual meliputi rogol, liwat, keganasan rumahtangga, sumbang mahram dan lain-lain.
Bila direnungkan halangan-halangan dalam kehidupan ini, punca utamanya ialah manusia yang tidak memanfaatkan dan membenarkan akujanji penerimaannya sebagai hamba Allah swt. Kesempurnaan Islam dan Qudwah kepimpinan RasululLah Saw telah terserlah dalam membina kecemerlangan ummah manusia yang bertamaddun. “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu ” {surah al Maidah :3} dan manusia perlu mematuhi syariat dan panduan-panduan yang terkandung dalam petunjuk kehidupan manusia yang syumul.
“Dan telah sempurnalah kalimat Tuhan mu (al Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil, tiada siapa yang dapat mengubah (sesuatu pun) dari kalimat-kalimatNya dan Dialah yang sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui”.{surah al An’am :115.
Salam Hurmat
wakman
5sas2kik77
28 December 2011
30 November 2011
16 October 2011
HAJI MABRUR
Haji adalah merupakan ibadat fardhu yang diwajibkan, tetapi kewajipan haji agak berlainan dengan ibadat-ibadat yang lain dari segi konsep dan kefardhuannya, di mana ibadat haji hanya diwajibkan ke atas umat Islam yang berkemampuan mengunjungi Baitullahil Haram di Makkah. Ada pun orang-orang yang tidak berkemampuan dari segi perbelanjaan, kesihatan tubuh badan dan keselamatan perjalanan, maka tidak diwajibkan atau dengan ertikata lain tidak dikira salah kerana tidak melakukannya. Firman Allah dalam surah Aali Imran ayat 97 yang bermaksud :-
" Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya "
MANUSIA DAN IBADAT HAJI
Rata-rata umat Islam mengakui tentang kewajipan ibadat Haji yang difardhukan, jika ada umat Islam yang menentang dan mengingkari kefardhuannya maka kufurlah ia.
Walau bagaimana pun, umat Islam pada keseluruhannya berkaitan dengan ibadah haji ini terbahagi kepada beberapa golongan :
- Golongan yang berkemampuan untuk mengerjakan ibadah Haji sehingga mereka telah mengerjakannya beberapa kali dan berkemampuan untuk mengerjakannya beberapa kali lagi jika mereka mahu.
- Golongan yang hanya berkemampuan untuk menunaikan ibadah Haji walaupun sekali sahaja dalam hidupnya, samada telah dikerjakan atau akan dikerjakan.
- Golongan yang langsung tidak berkemampuan untuk menunaikan ibadah Haji walaupun sekali dalam hidup sedangkan keinginan dan cita-cita tetap ada.
- Golongan yang berkemampuan dari segi perbelanjaan dan seumpamanya tetapi belum lagi mengerjakan ibadat Haji dan tidak pernah terlintas untuk mengerjakannya walaupun ia telah berkesempatan ke tempat-tempat lain yang lebih jauh daripada itu.
Golongan yang keempat inilah yang dibimbangi akan mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani. Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Al Hakim daripada Saidina Ali yang bermaksud :
" Sesiapa yang memiliki perbelanjaan yang melebihi dari keperluannya dan mencukupi untuk perbelanjaan menunaikan ibadah Haji serta mempunyai kenderaan yang boleh membawanya ke Baitullah dan tidak mengerjakan Haji, maka tidak ada apa yang menghalangnya dari mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani "
TINGKATAN IBADAH HAJI
Hampir sama seperti ibadah sembahyang dan puasa, ibadah Haji mempunyai empat peringkat yang berbeza :-
Haji Mardud
Haji yang tidak diterima olah Allah SWT lantaran kerana kekurangan syarat-syarat dan rukunnya atau sebab-sebab yang lain yang menyebabkan hajinya tidak diterima atau ditolak oleh Allah SWT.
Haji Maqbul
Ialah haji yang sah dan diterima oleh Allah SWT dan orang yang mengerjakan haji maqbul ini dianggap sebagai telah menunaikan perintah Allah dan telah menyempurnakan rukun Islam yang ke lima tanpa diberi ganjaran pahala.
Haji Makhsus
Haji yang dikerjakan oleh orang-orang yang tertentu yang sempurna segala syarat dan rukunnya, ia bukan sahaja sekadar dianggap sah dan diterima oleh Allah tetapi diampunkan segala dosanya. Haji ini termasuk ke dalam apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari, Ibnu Majah, An-Nasai dan Ahmad daripada Abu Hurairah yang bermaksud :
" Sesiapa yang menunaikan ibadah Haji, tidak ia melakukan keburukan dan kekejian, maka kembalilah ia seperti hari yang dilahirkan oleh ibunya "
- Haji Mabrur
Inilah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa, tidak semua boleh mendapatkannya. Haji ini bukan sahaja sekadar dianggap menunaikan kewajipan, tetapi selain dari diampunkan segala dosanya, ia juga akan dimasukkan ke dalam syurga. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani daripada Abdullah b. Abas yang bermaksud :
" Haji mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan Syurga "
PENGERTIAN HAJI MABRUR
Haji adalah ibadah khusus, salah satu di antara rukun yang ke lima. Mengikut pengertian syarak, haji ialah mengunjungi Baitullahil Haram dalam bulan-bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sai'e dan wukuf di Arafah dengan syarat yang tertentu dan menunaikan segala perkara -perkara yang wajib yang berkaitan dengannya.
Adapun perkataan "MABRUR" di segi pengertian bahasanya ialah perbuatan yang tidak ada syubahat atau keraguan padanya atau hanya diertikan dengan makna yang diterima.
Makna Haji Mabrur pada istilah ialah haji yang diterima dan balasannya yang luarbiasa iaitu Syurga, manakala lawannya ialah Haji Mardud iaitu haji yang ditolak dan tidak diterima.
SYARAT-SYARAT HAJI MABRUR
Untuk mencapai tingkatan haji yang mabrur, tidak semudah seperti yang disangkakan tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Ia memerlukan beberapa syarat yang tertentu berdasarkan masa-masa tertentu.
Sebelum Menunaikan Haji
Ada beberapa perkara yang seharusnya diperbetulkan sebelum berangkat menunaikan fardhu haji iaitu :
Niat
Niat semata-mata kerana Allah, jangan sekali dicampur-adukkan dengan perasaan riak dan takbur. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Umar Al-Khattab yang bermaksud " Sesungguhnya segala perbuatan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap seorang itu apa yang diniatkan "
Wang Perbelanjaan
Wang yang digunakan untuk tujuan keperluan bagi menunaikan ibadat Haji hendaklah daripada wang yang halal, jangan sekali dicampur-adukkan dengan sesuatu yang haram atau yang syubahat.
Kewajipan Yang Sempurna
Setelah cukup syarat yang mewajibkan seseorang itu menunaikan Haji tanpa memaksa diri sendiri untuk menunaikan haji sebelum ia berkemampuan untuk sampai kepadanya.
Semasa mengerjakan Haji juga perlu menjaga beberapa perkara :
* Menyempurnakan segala rukun-rukun Haji
* Menyempurnakan segala perkara-perkara wajib Haji
* Membayar segala jenis dam yang dikenakan
Tidak melakukan larangan ketika berihram Haji seperti persetubuhan, kemaksiatan dan kemungkaran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud :
" Masa untuk mengerjakan Ibadah Haji itu ialah beberapa bulan termaklum, oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya dengan niat mengerjakan Ibadah Haji itu, maka tidak boleh mencampuri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji "
Selepas Menunaikan Haji
Orang yang telah menunaikan Haji, dianggap telah membersihkan dirinya daripada segala dosa dan kesalahan, setelah menunaikan Ibadah Haji khasnya setelah kembali ke Tanah Air maka beberapa perkara perlu diawasi :
- Mengekalkan diri sentiasa dalam keadaan bersih dari sebarang noda dan dosa dengan menjauhkan perkara-perkara mungkar yang dilarang.
- Memperbanyakkan amal soleh untuk meningkatkan iman dan ketaqwaan
- Memperbaiki diri ke arah yang lebih sempurna di segi akhlak dan kelakuan
Dengan terlaksananya segala apa yang dinyatakan seperti di atas, maka besar kemungkinan seseorang itu akan mencapai ke tahap Haji Mabrur yang diidamkan oleh setiap pengunjung Baitullahil Haram.
Dengan huraian yang ringkas ini, diharap akan dapat memberikan satu gambaran tentang Haji Mabrur dan pencapaiannya atau sekurang-kurangnya dapat dijadikan sebagai panduan untuk mencapai Haji Mabrur.
Didoakan semoga kita semua akan dikurniakan taufik dan hidayah serta kemampuan untuk melaksanakan Ibadah Haji dengan sempurna dan penuh ketaqwaan, terhindar dari sifat riak yang merosakkan amalan.
Kepada Allah diserahkan segala urusan dan kepada Allah dipohonkan ganjaran di atas setiap amal yang dikerjakan. {Dipetik dari Daawah.com}
Kepada rakan2 genkik77 diucapkan selamat menunaikan haji, selamat menjadi tetamu Allah, semuga beroleh Haji Mabrur. Doa sehat dan selamat. Dipohonkan doa para tetamu Allah di Haramain bagi keselamatan kami semua & keluarga di sini.
wassalam.
wakman
5sas2kik77
11 October 2011
07 September 2011
09 August 2011
Masih Hidup
Assalamu’alaikum wbt.
Apa khabar semua?, didoakan semua kawan2 dan cikgu sehat sejahtera. WM baru balik dari program Ihya Ramadhan . Ramadhan telah berlalu seminggu. Fasa pertama hampir selesai, Fasa kasih sayang dan Rahmat Allah. Semuga semua sempat bertemu fasa ke dua, peluang mendapat maghfirah / keampunan Allah dan seterusnya fasa terakhir Ramadhan. Pastinya akan keluar graduan Universiti Ramadhan yang cemerlang dan mampu menjana transformasi yang dapat memanfaatkan ummah. Teman wakman Allahyarham Muzaimi Mohamad dijemput awal oleh ALLAH SWT dan telah dikebumikan di tanah perkuburan kg.Peringgit. (di mana Allahyarhamah Esah bte Abu disemadikan). Semuga dicucuri Rahmat dan Maghfirah serta ditempatkan bersama para syuhada’ wa solihin. Allahyarham seorang kaunselor dan cukup ramah dan periang.
Mengenai salah maklumat yang menyatakan wakman yang meninggal dunia, mungkin kesilapan. Al hamdulilah wakman masih sehat. Pagi Ahad semalam (7 Ogos 2011) sempat bergotong royong membersihkan kubur di Peringgit, rupa2nya ada teman dah ditentukan akan dikebumikan pada hari Isnin ( Ogos 2011).
Di atas keprihatinan kawan2 dirakamkan jutaan terima kasih. Kak Timah & Abang Din serta anak datang ke Parit Gantung sampai tersesat jalan. Semuanya tanda kasih sayang sahabat-sahabat gen77kik.
Ramadhan terus berlalu laju, selaju angin pantai yang merombak pasir pantai. Manusia akan beruntung andaikan mereka merasai kehilangan Ramadhan, justeru ketika peluang masih ada mereka terus memburu 1001 macam kelebihan Ramadhan al Mubarak.
Salam Sukses
wakman
5sas2kik77
Subscribe to:
Posts (Atom)